Monday, April 8, 2013

Berlian di Depan Mata Tidak Nampak

Tidak berapa jauh dari Sungai Indus, suatu masa dahulu, hidup seorang lelaki yang bernama Ali
Hafiz bersama bersama keluarganya. Beliau memiliki ladang dan dusun yang luas dan beliau boleh dianggap sebagai orang yang kaya raya. Setiap malam beliau bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang dikurniakan dan setiap malam beliau dapat tidur dengan nyenyak. Pada suatu hari, seorang lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam datang menziarahi Ali Hafiz. Beliau menceritakan bagaimana berlian terjadi dan berkata, “Apabila kamu berjaya memiliki berlian walaupun sebesar ibu jari, kamu mampu membeli sebuah negara, dan apabila kamu dapat memiliki sebuah lombong berlian kamu dapat menguasai dunia.”

Sejak hari itu, Ali Hafiz tidak dapat tidur dengan nyenyak lagi dan sejak hari itu beliau lupa bersyukur kepada Allah. Siang dan malam beliau termenung memikirkan bagaimana mahu memiliki berlian. Akhirnya, beliau memutuskan menjual kesemua harta yang dimilikinya untuk merantau mencari lombong berlian. Maka, Ali Hafiz pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan terus memulakan perjalanan. Beliau merantau ke bumi Palestin, menjelajahi Eropah, dan akhirnya tiba di Teluk Barcelona dalam keadaan miskin. Namun, berlian yang dicari tidak juga ditemui. Beliau berasa amat kecewa dan putus asa dan akhirnya mencampakkan dirinya ke dalam laut. Dengan ini tamatlah riwayat hidupnya.

Berbalik kepada ladang dan dusun yang sudah dijual, pada suatu hari pemilik yang baru bersiar-siar di dusunnya dan kemudian berhenti berehat di tepi sebatang sungai. Beliau berasa pelik kerana pasir di sungai itu kelihatan bersinar-sinar dan bergemerlapan. Beliau pun mencedok pasir sungai dan kemudiannya menunjukkanya kepada lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam. Lelaki itu terkejut besar kerana pasir itu mengandungi berlian bernilai tinggi dan berlian itu yang dicari-cari selama ini oleh Ali Hafiz.

Dusun itu bertukar menjadi sebuah lombong berlian yang besar yang dikenali pada hari ini sebagai lombong Golcanda.
 -------------------------
Kisah  Ali Hafiz ini boleh kita lihat pada umat Islam zaman sekarang. Semua berpusu-pusu mencari 'berlian' di budaya asing, mengagung-agungkan budaya luar. Mereka tidak menyedari agama Islam adalah lombong berlian yang tiada tolok bandingnya. Mereka keluar mencari kemuliaan, mengagumi isme-isme sesat yang bercanggah dengan ajaran Islam dan berbangga apabila berjaya mengikut cara hidup golongan bukan Islam. Akhirnya mereka hancur dan lemas. Baru mereka sedar berlian yang dicari sudah berada di hadapan mata mereka.

Sunday, April 7, 2013

Sekularisme

Apakah sekularisme?

1. (sékularisme) faham (doktrin, pendirian dsb) yg menolak nilai-nilai ke­agamaan dlm kehidupan sosial manusia.[Kamus Dewan Edisi Keempat]
2. Sekularisme adalah konsep bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari agama dan/atau kepercayaan agama.[Wikipedia]

Maksudnya, apa saja pemisahan atau pengasingan agama dari kehidupan manusia. Adakah ini termasuk keadaan dimana agama sahaja diamalkan tanpa mengambil kisah dunia, misalnya hal-hal politik?

Salah seorang pensyarah Hubungan Etnik menyatakan ya. Kerana itu, sekolah agama yang tidak mengajar tentang ilmu-ilmu kifayah turut kita boleh anggap sebagai sekular, kerana memisahkan agama dari kehidupan manusia.

Identiti Islam
Islam dilabelkan dengan bermacam-macam identiti, positif dan negatif. Antara yang pernah disebutkan ialah Islam Syumul dan Islam adalah cara hidup, bukan agam. Mengapa? Kerana ia meliputi segala hal dalam kehidupan manusia, dari bangun pagi hingga tidur, malah ketika tidur sekalipun. Bangun mulakan dengan nama Allah, atau yang baik membaca doa bangun tidur. Kemudian solat Subuh. Makan dimulakan dengan basmallah dan diakhiri dengan hamdalah.  Pakaian, gaya rambut, cara bertutur, bersugi, makan makanan yang halal, belajar di dalam bilik kuliah, semasa bermain futsal,

Pergaulan antara lelaki dan perempuan ada caranya. Namun ramai yang tidak mengendahkan, kerana yang penting "Aku solat juga. Takkan bercakap tak boleh. Kita zaman sekarang kena bercampur, kerja sama dalam organisasi.". Tidaklah saya menyatakan diri sempurna, namun apabila teringat, saya cuba juga menjauhi perbuatan dan perbualan 'biasa' zaman sekarang.

Islam sekular?
Mustafa Kamal Atartuk antara 'tokoh' sekular di Turki. Tidak dapat ku bayangkan ibadahku diadakan bukan dalam bahasa Arab, kerana sunnah Nabi dan juga syarat sah ia sudah jelas menyatakan caranya yang betul. Diri saya hanya mampu menggelengkan kepala ketika pertama kali mengetahui hal tersebut.

Kerajaan Islam
Dan... Islam turut melibatkan politik. Ada mata yang terbeliak, mula mencari salah silap?

Nabi Muhammad s.a.w., Rasulullah dan hamba Allah yang terbaik, menggubal perlembagaan pertama di dunia iaitu Piagam Madinah. Negara Islam pertama yang masih tercatat dalam sejarah dimulakan dengan Madinah. Para sahabat nabi yang terpercaya dan antara iman terkuat adalah Khulafa' Ar-Rasyidin.

Namun, akan ada menyatakan politik itu kotor, itu dan ini. Banyak perkara haram terlibat. Tidak bermakna Islam ada menyatakan haramnya kita dalam hal tersebut.

Kerana itu, dalam pembinaan negara Islam, Imam Hassan al-Banna menyatakan ia perlu dibina dari individu Muslim, kemudian keluarga Islam. Sebuah masyarakat Islam terdiri daripada unit-unit keluarga. Dan tidak dapat tidak, akan sampai ke tahap negara Islam, sehingga the maximum is seluruh alam ditadbir Islam. Ini didapatkan bukan sekadar ilham, tetapi berdasarkan sirah Nabi.

Pelbagai korupsi sedang berlaku, pihak-pihak tertentu bertindak mengikut agenda-agenda masing-masing, dan ada yang mudah tunduk pada kuasa-kuasa luar yang besar. Mudah sekali mengumpat dan menfitnah, hingga terlupa terus pada objektif sebenar kita. Ada kalanya, ketua organisasi itu baik dan berniat baik, tetapi ahli-ahlinya ada yang melakukan salah, lalu nama si ketua ini yang terpalit dengan kehitaman.

Objektif
Apakah objektif kita?
1. Hamba Allah 
2. Khalifah Allah

Perbetulkan niat kita kembali. Mulakan kembali dengan perkara-perkara amalan sunnah dalam kehidupan kita. Pakai kasut dengan kaki kanan misalnya. Mana tahu, dengan amalan yang satu itu kita masuk syurga. Dan mungkin juga, kerana amalan itu, kita mula bertindak selari dengan Islam yang diturunkan Allah swt sejak Nabi Adam a.s. dan disempurnakan tatkala kewafatan Rasulullah s.a.w.

Yang baik dari Allah, yang kurang dari kelemahan diri saya. Wallahualam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...