In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful.
Assalamualaikum.
Dalam beberapa hari lagi, cuti universiti akan bermula. Ketika itu, perayaan Kristmas dan Tahun Baru Cina akan disambut mereka yang menyambutnya. Saya mula menyedari hal ini ketika saya duduk bersama 'classmates' di Youth Floor (Pusat Pelajar). Saya tak tahu apa yang sebenarnya mereka nyanyikan disitu, namun rasanya itu Kristmas Carol. Terdapat juga perasaan terkejut semasa mengetahui 'rosary' dalam satu iklan Thursday Gathering itu serupa dengan tasbih. Dalam hal ini, timbul persoalan tentang adakah umat Islam memberi ucapan selamat serta turut menyambut hari Kristmas. Persoalan dijawab Ustaz Zamri dengan bersahaja. :) Saya cuba kongsikan dengan kalian apa yang saya dapat dan faham.
Mari kita lihat dalam surah Al-Kafirun kembali. Satu surah yang selalu saya gunakan dalam solat, kerana ceteknya ilmu menghafaz Quran buat masa kini.
- قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ Katakanlah: "Hai orang-orang kafir,
- لا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,
- وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.
- وَلا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,
- وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.
- لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku
Secara ringkas, ia menyatakan, "Kamu beramal dengan agama kamu, kami beramal dengan agama kami." Disini, terdapat ketegasan di mana kita tidak menyamakan amal ibadah kita dengan orang bukan Muslim. Namun, terdapat juga hikmah tersirat, iaitu Islam menghormati mereka dalam mengamalkan agama.
Dapat kita lihat dalam sirah Nabi, bagaimana Rasulullah s.a.w. selepas hijrah bergaul dengan masyarakat majmuk di Madinah. Bagaiman keadaan masyarakat itu yang asyik berperang, terutama berlainan agama, boleh hidup aman damai, berjual beli dan bersatu padu dalam mempertahankan Madinah. Terdapat satu peristiwa dimana kaum kafir pernah membuat bantahan, maka piagam Madinah diwujudkan untuk menjaga hak semua orang.
"Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing."
Salah satu isi kandungan Piagam Madinah
Disini, Ustaz turut mengingatkan tentang jenis kafir yang ada. Ada yang perlu diperangi, dan ada yang tidak boleh diperangi, iaitu kafir zimmi. Ah, Kiranya ada yang tersilap, tolong perbetulkan. Dalam adab perang, sebahagian larangan Rasulullah ialah jangan memusnahkan rumah ibadah, dan jangan menganggu orang yang berlindung dan beribadah didalamnya. Saidina Umar sendiri ketika membebaskan Masjidi Aqsa, membenarkan amalan agama Kristian di sana.
Kita turut menghormati hak mereka. Kita perlu menjaga hak syariat Islam disamping hak mereka. Misalannya, jika bacaan Quran sebelum azan Maghrib, ada yang mengadu bahawa ia mengganggu ketenteraman/ketenangan tempat itu, kita dibolehkan untuk menghormati mereka dengan tidak memainkan bacaan Quran sebelum azan Maghrib. Namun, jika kata mereka tentang azan Subuh menganggu tidur mereka, maka tiada compromise disitu. Kerana itu adalah hak orang Islam untuk melaungkan azan bagi menandakan waktu solat masuk dan memanggil ke masjid.
Berdasarkan itu, maka kita perlu menghormati mereka dalam merayakan perayaan mereka tanpa mengikut meraikan. Kerana jika kita menyerupai mereka, maka kita juga menjadi sebahagian daripada mereka. Sepertimana Hari Asyura, kita berpuasa di hari itu dan Yahudi turut berpuasa dan meraikannya. Namun untuk membezakan diri kita, kita hendaklah berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya juga. Begitu juga menyimpan janggut dan memotong misai, manakala orang Eropah dan yang berkenaan menggalakkan menyimpan misai dan memotong janggut.
Kebetulan pula, selepas habis AGM (Annual General Meeting) COMPASS (Computer Asssociation), Miss Adeline ada menjemput untuk datang ke rumah terbuka nya. Ustaz berkata lebih kuran begini: Jika tukang masak Islam dan makanan halal di rumahnya, maka bolehlah datang. Tetapi ingat. Niat bukan untuk turut meraikan perayaan itu, tetapi untuk menjaga hubungan silaturahim dan perasaan.
Disini kita dapat lihat, betapa indahnya Islam. Kita masih menjaga hubungan dengan mereka, mana tahu, menjadi as-sabab datangnya hidayah kepada mereka untuk mengkaji Islam dan akhirnya kembali ke agama Islam, agama hak mereka sejak kecil.
Saya tak pasti tentang diri saya pula. Saya masih belajar, lambat sedikit kematangan dalam kehidupan ini. Namun, Insya-Allah, ilmu sedang ditimba, ujian sedang diharungi, demi Allah, akan saya usahakan untuk mempunyai akidah benar dan akhlak yang mulia. Jika baik, datang dari Allah, jika kurang, kerana saya adalah manusia biasa bukan maksum, bukan dikurniakan-Nya hikmah kebijaksanaan. Wallahualam.
Bersaksilah Allah, usaha kecil hambaMu ini dalam tabligh(menyampaikan) walaupun sedikit.
Muhammad Azri bin Jasni
Biro Pengkaderan
UiTM Samarahan
ISMA Sarawak
No comments:
Post a Comment