Sunday, July 17, 2011

Pengajaran Daripada Keluarga Imran


Assalamualaikum. Saya memohon Rahmat Allah ke atas orang yang beriman dan bertaqwa. Jua Petunjuk dan hidayah ke atas semua manusia yang masih hidup di atas muka bumi ini.

Pernah tak anda berdoa tentang sesuatu, tetapi seperti tidak dikabulkan oleh Allah Taala? Seperti diri saya sendiri, saya ingin menjadi orang yang hebat. Namun kurang sekali keyakinan diri saya. Sering kali saya berdoa kepada Allah Taala untuk meningkatkan ciri-ciri hebat, agar ditambah keyakinan, lancar kata-kata dan kuat keimanan. Saya menunggu-nunggu untuk masa itu yang kelihatan tidak kunjung tiba. Di sini saya ingin mengingatkan diri sendiri dan anda semua tentang sebuah keluarga yang dimuliakan oleh Allah, iaitu Ali-Imran atau keluarga Imran. Keluarga Imran ialah keluarga para nabi dan orang-orang soleh. Mereka dimuliakan di dalam Qur’an kerana iman mereka.



Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).(Qu’ran, Ali-Imran,3:33)

Pada masa keluarga Imran, Bani Israil tinggal bersama orang Romawi di Palestin. Bangsa Romawi sangat benci pada agama tauhid dan sering menindas mereka. Bangsa Yahudi atau Bani Israil ketika itu sangat jauh dari sifat Nabi Daud atau Nabi Sulaiman. Saat itu tiada lagi yang beriman selain keluarga Imran. Mereka sudah sangat tua dan menginginkan anak lelaki yang berupaya menentang penindasan itu. Mereka ada anak perempuan yang tidak diketahui namanya yang berkahwin dengan Nabi Zakariya a.s.. Dalam Surah Ali-Imran, ayat 31-62 disemadikan sebahagian dari ceritanya.

Nabi Zakariyya a.s. sendiri sangat tua berdasarkan kata-katanya: "Sesungguhnya tulangku telah lemah, dan rambutku beruban...." Cuba bayangkan bagaimana pula ibu bapa kepada isterinya? Walaupun dalam masa tua seolah mustahil untuk mendapat anak, isteri Imran tetap berusaha dengan pelbagai cara dan berdoa dengan penuh keikhlasan dan keyakinan. Kemudian apabila dia mula mengandung, dia menazarkannya demi Allah untuk menjadi pelindung Masjidil Aqsa.

(ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadamu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadamu semata-mata), maka terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Quran, Ali-Imran, 3:35)


Namun yang diperoleh ialah anak perempuan. Di dalam tradisi mereka anak yang dinazarkan untuk berkhidmat di Baitul Maqdis hanyalah anak lelaki sahaja. Allah s.w.t. mempunyai perancangan yang lebih baik. Di sini kita dapat lihat, dengan ketekunan berdoa, Allah boleh mengabulkan permintaan kita walaupun ia kelihatan mustahil di mata kita.

Agar doa kita dimakbulkan Allah Taala, kita seharusnya berdoa dengan penuh ikhlas dan yakin. Dan kita janganlah berputus asa. Seperti Nabi Zakariyya a.s. yang tidak berputus asa berdoa di tengah malam.


"...Wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadamu.(Quran, Maryam, 19:4)"


Usahakanlah apa yang kita mahukan itu. Insya-Allah, berserta doa yang dilakukan dengan tulus ikhlas, yakin dan berterusan, Allah akan makbulkan permintaan kita. Sya yakin, saya boleh mendapat apa yang saya doakan kepada Allah. Antara Dia akan memakbulkan terus, atau menangguhkan masa hingga masa yang sesuai, atau menggantikan dengan yang lebih baik. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mendengar hamba-Nya dan Maha Mengetahui.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...